HUKUM DAN KEPERLUAN MEMPELAJARI ILMU MANTIK

HUKUM DAN KEPERLUAN MEMPELAJARI ILMU MANTIK

OLEH

AHSANI NAJWA BINTI MOHD ROSDI(A168070)

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2017), Ilmu Mantik didefinisikan sebagai ilmu yang membahaskan akal, ilmu jalan fikiran mengenai sebab dan kejadian yang terbit daripadanya. Mengikut Bahasa Arab, perkataan ‘mantik’ atau mantiq berasal daripada perkataan nataqa  yang  bermaksud berkata atau bercakap. Ulama Arab banyak mengaitkan ucapan dan pemikiran adalah  dua perkara yang tidak dapat dipisahkan dalam ilmu ini. Manusia sering digambarkan sebagai makhluk yang boleh berbicara atau haiwan yang berkata-kata.  Pada zaman Yunani, perkataan Mantik juga berasal daripada bahasa Yunani iaitu Logos yang membawa maksud kata atau fikiran yang benar. Pada zaman tersebut, golongan ahli  falsafah Yunani adalah golongan yang sangat berperanan penting dalam penyebaran ilmu ini. Ilmu Mantik ini juga dikenali sebagai ilmu logik iaitu sains yang berkaitan dengan prinsip pemikiran dan penaakulan yang dibuat secara teratur dan sistematik.  Ilmu mantik juga mempunyai nama lain bagi ilmu tersebut. Menurut Wan Haslan (t.th), dalam artikel beliau, antara nama lain bagi ilmu mantik ialah ‘ilm al mizan (ilmu neraca), ‘ilm al-tahlil ((ilmu penganalisis), ‘ilm al-burhan (ilmu pembuktian), ‘ilm al-‘ulum (ilmu kepada ilmu-ilmu), mi’yar al’ulum (neraca ilmu-ilmu) dan mizan al-‘ulum (neraca ilmu-ilmu).
Dalam ilmu mantik ini, terdapat beberapa khilaf dalam kalangan ulama khususnya ulama dalam bidang Mantik dalam menetapkan hukum mempelajari ilmu Mantik. Pendapat pertama adalah ulama yang menolak untuk masyarakat mempelajari ilmu mantik. Seperti mana pendapat Ibnu Solah,  Imam Nawawi, Imam al-Suyuti, Imam al-Syafi’I dan Ibnu Taimiyah menyatakan bahawa mempelajari ilmu Mantik adalah haram. Kesemua ulama ini berpendapat sedemikian adalah kerana ulama-ulama ini berasa bimbang ilmu mantik dapat memberikan banyak kemudaratan dan berlakunya banyaknya salah faham khususnya dalam mentafsir dan memahami al-Qur’an dan Hadis pada zaman tersebut. Masyarakat pada zaman tersebut tidak teguh kepada pegangan akidah. Kebanyakkan sumber ilmu Mantik diambil daripada sumber ahli falsafah Yunani yang jelas banyak ilmu Mantik pada ketika itu banyak yang bertentangan dengan ajaran Islam serta bukan bertujuan untuk mencari kebenaran. Disebabkan alasan tersebut, ulama-ulama ini menolak masyarakat untuk mempelajari ilmu Mantik.
 Sebahagian ulama yang lain ada yang menghukumkan ilmu Mantik boleh dipelajari untuk sebahagian golongan. Pendapat ini disandarkan kepada pendapat al-Ghazali. Ilmu ini menjadi fardu ain bagi mereka yang mempelajarinya hanya sekadar untuk memenuhi keperluan sahaja, manakala menjadi fardu kifayah mempelajari ilmu Mantik bagi mereka yang mempelajarinya melebihi keperluannya. Pendapat ketiga, ulama ada yang mengharuskan ilmu Mantik ini dipelajari. Pendapat ini adalah menurut jumhur ulama dan ianya bagi mereka yang hanya mempelajari ilmu-ilmu al-Qur’an dan al-Sunnah secara mendalam. Golongan ini selain mereka mendalami ilmu-ilmu al-Qur’an dan al-Sunnah, mereka juga harus mempelajari ilmu Mantik kerana ilmu ini mampu membuatkan mereka mentafsirkan sesuatu mengikut dalil naqli iaitu al-Qur’an dan al-Sunnah serta dalil aqli. Justeru itu ulama ini mengharuskan ilmu Mantik dipelajari oleh golongan seperti yang dinyatakan.
Ilmu Mantik mempunyai kelebihan yang boleh didapati dalam mempelajari ilmu ini. Kelebihan mempelajari ilmu mantik ini adalah ilmu ini tidak terbatas dan merangkumi semua bidang. Ini kerana ilmu ini adalah ilmu alat atau mabadi’ ( prinsip atau asas) kepada ilmu-ilmu lain. Kedudukan ilmu Mantik terhadap  dua ilmu Islam  yang utama iaitu Usul Fiqah dan Ilmu Usuluddin dihubungkan bahawa Ilmu Mantik dengan Ilmu Usul Fiqah secara umumnya, Ilmu Mantik adalah ilmu kaedah-kaedah yang menjadi ukuran untuk mengenalpasti serta mengesahkan kebenaran dan kepalsuan dalam berfikir. Kerana itu ilmu Mantik ini menjadi asas kepada ilmu-ilmu lain. Selain itu, ilmu Mantik ini adalah ilmu kaedah umum kepada ilmu-ilmu lain seperti ilmu Usul Fiqah adalah ilmu yang mengenai kaedah yang khusus.  Ilmu Mantik juga dapat membimbing seseorang untuk membuat kesimpulan yang benar tanpa melakukan sesuatu kesimpulan tanpa dianalisis sumber maklumat terlebih dahulu.
 Menurut Wan Haslan (t.th) , faedah mempelajari ilmu Mantik ini antaranya ilmu ini dapat menajamkan akal dan fikiran serta dapat memelihara akal daripada tersalah dalam berfikir. Sebagai contoh, ilmu Mantik ini diajar kepada pelajar dalam kursus ‘Logik dan Pemikiran Kritis’ di Jabatan Usuluddin dan Falasafah (JUF), Fakulti Pengajian Islam (FPI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Subjek ini adalah bertujuan diajar kepada pelajar-pelajar adalah bagi melahirkan pelajar yang dapat mengetahui dan memahami konsep dan istilah dalam Mantik klasik serta dapat mengaplikasikan takrif dalam pendefinisian sesuatu konsep.
Secara kesimpulannya, hukum mempelajari ilmu Mantik yang tidak bercampur aduk dengan falsafah-falsafah yang bertentangan dengan Islam adalah harus dan dibolehkan kepada golongan yang hanya memenuhi keperluan sahaja. Manakala hukum mempelajari ilmu Mantik ini adalah wajib kepada golongan yang benar-benar mendalami ilmu-ilmu al-Qur’an dan al-Sunnah untuk mereka mentafsirkan ilmu-ilmu al-Qur’an dan al-Sunnah bukan hanya berdasarkan kesimpulan hasil daripada dalil naqli sahaja, bahkan kesimpulan tersebut perlulah didasarkan dengan kesimpulan dari dalil naqli dan aqli juga. Selain itu, golongan ini juga dapat membezakan antara hak dan batil dalam mengeluarkan sesuatu kesimpulan dalam ilmu Mantik kerana ilmu Mantik menjadi asas kepada ilmu-ilmu pelbagai bidang. Tanpa ilmu Mantik ini, kesimpulan yang difikirkan akan menjadi batil dan salah. Ilmu Mantik ini perlu dipelajari oleh generasi masa kini agar setiap kesimpulan yang difikirkan tidak akan menjadi salah.





RUJUKAN

Kamus Dewan. 2017. Edisi Ke-4. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mempelajar Ilmu Mantiq: https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/2664-irsyad-al-fatwa-252-hukum-mempelajar-ilmu-mantiq (15 Jun 2020)
Wan Haslan. (t.th). Ilmu Mantik Dalam Tradisi Keilmuan Islam.

































Comments

Popular posts from this blog

Tokoh falsafah zaman Greek:Socrates